mutakhir

Tumpasnya Geng Syed di Johor

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Tujuh anggota Geng Syed yang dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di negeri itu sejak tahun lalu ditahan polis susulan empat serbuan berasingan di sekitar bandar raya dan Iskandar Puteri, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan kira-kira jam 7 pagi itu, tujuh sekeluarga itu membabitkan empat lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang wanita warganegara Thailand berusia antara 35 hingga 64 tahun ditahan.

"Lima daripada mereka mempunyai pertalian keluarga membabitkan seorang ibu serta dua menantunya.

"Suspek utama dikenali sebagai Syed, yang pernah dipenjara selama 10 tahun dan dibebaskan pada 2013 atas kesalahan dadah.

"Hasil ujian air kencing mendapati seorang suspek positif dadah dan dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, sindiket terbabit dipercayai aktif sejak tahun lalu dengan mendapatkan bekalan dadah dari Thailand untuk pasaran tempatan.

"Dengan tertangkapnya suspek utama dan anggota Geng Syed ini, polis berjaya merampas dadah jenis ganja 109 kilogram (kg) bernilai RM272,500, lima kereta bernilai RM269,000 selain tiga motosikal bernilai RM15,000.

"Selain itu, wang tunai RM23,190 dan SGD 170 (RM517.56) serta pelbagai barangan kemas bernilai RM178,640 turut dirampas dengan nilai keseluruhan sitaan RM758,840," katanya.

Beliau berkata, semua suspek akan direman bermula esok (hari ini) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 3:46pm
d