mutakhir

Pertahan status Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) meminta Kerajaan negeri Selangor mempertahankan status Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK).

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebaiknya kawasan hutan simpan sudah diwartakan tidak dimansuhkan untuk pemuliharaan alam semula jadi.

"Kalau boleh kawasan hutan simpan sudah diwarta, janganlah kita dikeluarkan walaupun kerajaan negeri mungkin ada keperluan ekonomi negeri.

"Tetapi keutamaan di peringkat kementerian, kita harap kawasan sudah diwartakan kekal dan dipertahankan status berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Inovasi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia 2020 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah JPS Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali

Tuan Ibrahim diminta mengulas mengenai kerajaan Selangor melakukan sesi pendengaran awam bagi cadangan pemansuhan kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara, Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat, semalam.

Ia membabitkan keluasan sekitar 1,971 hektar, namun ramai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) lain serta ahli politik di kawasan berkenaan tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Mengulas Hari Inovasi JPS Malaysia, Tuan Ibrahim berkata, kementerian itu akan meneruskannya dalam usaha mengetengahkan idea, penemuan dan produk inovasi terkini jabatan itu.

Beliau berkata, produk itu boleh membantu kementerian menyelesaikan isu berkaitan pengurusan air lestari yang merangkumi sektor sumber air demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 4:46pm
d