mutakhir

Kerajaan akan siasat dahulu isu FGV

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia akan mendapatkan maklumat terperinci berhubung dakwaan penggunaan buruh paksa oleh syarikat perladangan FGV Holdings Berhad (FGV) dalam pengeluaran produknya.

Menterinya Datuk Seri M Saravanan berkata, siasatan akan dibuat secara menyeluruh sebelum tindakan seterusnya diambil.

"Sabar, (untuk kes ini) banyak pihak yang terlibat, ia terlalu awal. Saya perlu memeriksa apa yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama rakyat di Menara Manikavasagam, di sini, hari ini.

Terdahulu, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan mengharamkan import minyak sawit keluaran FGV susulan dakwaan penindasan pekerja.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS mengumumkan pada lewat Rabu lalu bahawa pihaknya mengharamkan minyak sawit daripada FGV, antara pengeluar utama komoditi berkenaan di Malaysia, selepas siasatan selama setahun.

Jurucakap CBP Brenda Smith dilaporkan berkata, siasatan mendapati bahawa terdapat petunjuk pekerja ditindas secara fizikal dan seksual, ditakut-takutkan dan gaji mereka ditahan, di samping dakwaan penggunaan tenaga buruh kanak-kanak.

Sementara itu, Saravanan berkata, beliau juga menerima maklumat sebuah lagi syarikat besar di negara ini bakal dikenakan tindakan sama.

Berita berkaitan:

  • AS haramkan import minyak sawit keluaran FGV
  • Sekat minyak sawit keluaran FGV keterlaluan
  • Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 6:14pm
    d