mutakhir

Dua kampung 'ditelan' air Sungai Linggi

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Seramai 40 penduduk membabitkan dua kampung di Rantau Rembau di sini, terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat susulan limpahan air Sungai Linggi, pagi semalam.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Seremban memaklumkan, mangsa banjir membabitkan penduduk Kampung Sega Hilir dan Kampung Pasir, Rantau.

Katanya, mereka ketika ini ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan Sega Hilir yang mula dibuka untuk mangsa mulai jam 9.30 pagi semalam.

"Hujan lebat berterusan selama kira-kira empat jam mulai tengah malam kelmarin mengakibatkan kawasan dua perkampungan itu dilanda banjir kilat.

"Atas nasihat dan arahan Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, PPS dibuka dengan semua mangsa dipindahkan segera demi keselamatan mereka," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, anggota Angkatan Pertahanan Awam ( APM) dibantu ahli Majlis Permuafakat Komuniti Kampung bertindak awal mengeluarkan mangsa dari kediaman mereka selepas mendapati kediaman mangsa mula ditenggelami banjir.

Katanya, pihaknya mendapati terdapat beberapa kediaman penduduk di kawasan terbabit turut terjejas namun ada kalangan mereka yang enggan berpindah ke PPS.

"Bagaimanapun, anggota keselamatan khususnya APM akan terus memantau perkembangan banjir kilat di kampung berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 6:34pm
d