mutakhir

'Alhamdulillah dapat sambung belajar'

Oleh Shahrinnahar Latib

Temerloh: Dua tahun lalu, dia pernah menolak tawaran untuk menyambung pengajian ke universiti berikutan keadaan kewangan keluarganya yang hidup serba kekurangan.

Namun hasrat pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Siti Khalijah Ahmad, 20, untuk menyambung pengajian ke universiti akhirnya tercapai selepas dibantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin.

Siti Khalijah berkata, selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mendapat tawaran ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) namun terpaksa ditolak kerana masalah kewangan dihadapi keluarganya.

"Ibu, Faridah Mahidin, 49, bekerja sebagai tukang cuci di kilang sawit berdekatan rumah dengan pendapatan bersih RM600 sahaja bagi menyara kami lima beradik termasuk dua orang kurang upaya (OKU).

"Memang saya agak kecewa selepas menolak tawaran ke universiti ketika itu. Tetapi, Alhamdulillah dengan sumbangan diberikan ini saya dapat menyambung pelajaran Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang dalam bidang Sastera," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pamah Kasih, di sini, semalam.

Siti Khalijah yang mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.00 itu berkata, dia berterima kasih kepada Nor Azmi kerana memberi sumbangan untuk membayar yuran daftar pengajian selain bayaran sewa van dan rumah tumpangan untuk keluarga yang akan menghantarnya.

"Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana dengan sumbangan ini saya dapat menyambung pelajaran ke universiti.

"Terima kasih kepada YB dan Alumni Sekolah Menengah Abu Bakar kerana membantu menampung yuran pengajian saya. Jasa anda semua saya tidak mampu balas," katanya.

Sementara itu, Nor Azmi berkata, beliau memberi sumbangan RM3,600 kepada keluarga itu bagi membayar yuran pendaftaran, sewa van dan sewa rumah tumpangan.

"Selain itu, saya dimaklumkan Alumni Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar turut membuat satu tabung untuk Siti Khalijah supaya dapat menyambung pelajaran.

"Duit tabung itu nanti akan diserahkan secara bulanan kepada beliau," katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 6:47pm
d