mutakhir

VSOM2 bukti Malaysia komited anjur APEC 2020 secara maya

Oleh Mohammad Asyraf Khalib

PENGANJURAN mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan APEC Secara Maya Ke-2 (VSOM2), pada Selasa, membuktikan Malaysia terus komited meneruskan penganjuran APEC 2020 secara dalam talian.

Mesyuarat itu membincangkan gerak kerja program Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC)  2020 bagi memastikan ia mencapai kemajuan yang mantap. 

Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) APEC 2020, Hairil Yahri Yaacob dalam ucapan pembukaan berkata, penubuhan platform perkongsian maklumat digital APEC Covid-19 LIVE, perlu diberi perhatian.

Tambahnya, inisiatif itu perlu diberi keutamaan seiring dengan kenyataan bersama Menteri-Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) yang menyatakan keperluan untuk melaksanakan inisiatif itu dengan segera.

Beliau juga menekankan bahawa persetujuan secara kolektif mengenai cadangan itu penting untuk dicapai bersama bagi memastikan platform digital itu menjadi kenyataan sebelum Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).

Platform APEC Covid-19 LIVE bertujuan mengenal pasti dasar intervensi, langkah-langkah, program dan inisiatif yang diguna pakai oleh ekonomi APEC untuk menangani krisis kesihatan.

Pada masa sama, beliau turut menggesa Pegawai Kanan ekonomi anggota masing-masing untuk menerapkan semangat kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan itu.

"Kita perlu melaksanakannya dengan cepat untuk menyelesaikan tugas-tugas yang belum selesai berhubung dokumen ini bagi membolehkan kita mencerminkan pencapaian penting yang berkaitan dalam Deklarasi Pemimpin," kata Hairil.

Selain Covid-19 LIVE, terdapat juga pelaksanaan utama dan dokumen hasil lain yang sudah dimasukkan dalam agenda, termasuk penubuhan Subdana untuk Kerjasama APEC bagi Memerangi Covid-19 dan Pemulihan Ekonomi.

Agenda lain termasuk Program Kerja Pelan Tindakan Ekonomi Digital dan Internet APEC (AIDER), penilaian akhir mengenai Matlamat Bogor, Kajian Separuh Penggal Pelan Tindakan Kesalinghubungan APEC, dan penilaian akhir Strategi APEC untuk Mengukuhkan Pertumbuhan Berkualiti.

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 6:57pm
d