mutakhir

Pemergiannya saat sebut kalam Allah

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: "Pemergian arwah umpama kita di dunia meraih 'keputusan peperiksaan sangat cemerlang' kerana meninggal dunia ketika menyebut kalam Allah.

"Saya sebak dan menitiskan air mata apabila berpeluang menyaksikan sendiri kematian husnul khotimah," kata jemaah Surau Al Rayyan, Mohd Zin Su.

Mohd Zin, 65, antara individu terawal yang tiba di surau terletak di Pangsapuri Sri Ixora, Seksyen 27, Shah Alam sebelum seorang jemaah, Rosliman Osman, 60, meninggal dunia ketika melaungkan azan Subuh, hari ini.

Menceritakan kejadian, Mohd Zin berkata, dia tiba di surau itu kira-kira 5.50 pagi dan melihat Allahyarham Rosliman sudah berada dalam surau.

"Saya lihat dia ceria dan teruja macam selalu, dan kami bertegur sapa sebelum saya membaca al-Quran.

"Apabila masuk waktu (Subuh), arwah bangun untuk melaungkan azan.

"Namun, selepas dua rangkap kalimah 'Allahu Akbar' dan 'Ashadu alla illaha illa Allah', suaranya mula tersekat-sekat untuk meneruskan alunan azan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mohd Zin berkata, dia bergegas memangku Rosliman selepas melihat lelaki itu tiba-tiba rebah dalam keadaan terlentang.

"Dahinya berpeluh-peluh. Saya memanggil namanya, namun dia tidak memberikan reaksi sebelum saya membantunya mengucap kalimah syahadah.

"Pada masa sama, seorang jemaah lain menghubungi ambulans, namun arwah disahkan sudah meninggal dunia," katanya.

Katanya, Allahyarham Rosliman yang sebelum ini menetap di Pahang berpindah ke kawasan itu, kira-kira dua tahun lalu.

"Dia teruja menawarkan diri mengalunkan azan. Subuh tadi, kali ketiga arwah melaungkan azan yang juga terakhir buatnya," katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam selepas solat Zohor, manakala majlis tahlil akan diadakan di surau itu, malam ini.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan Allahyarham yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemeriksa Kira-Kira Surau Ar-Rayyan meninggal dunia ketika melaungkan azan Subuh.

Menerusi satu perkongsian di Facebook (FB) Lembaga Zakat Selangor (LZS), Allahyarham dikatakan baru saja melaungkan dua rangkap kalimah azan sebelum tiba-tiba terhenti sekali gus menimbulkan tanda tanya penghuni pangsapuri Sri Ixora.

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 7:49pm
d