mutakhir

Mutasi D614G di Sabah berpunca dari Indonesia, Filipina [METROTV]

Oleh Suraya Roslan dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan penularan virus Covid-19 membabitkan mutasi jenis D614G di Sabah berpunca dari Indonesia dan Filipina.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mutasi virus berkenaan yang dilaporkan di Kedah membabitkan Kluster Sivagangga, Kluster Sungai dan Kluster Tawar dengan penularan Covid-19 di Sabah adalah tidak sama.

"Kalau kita lihat di Kedah, makmal kami mengenal pasti mutasi jenis D614G membabitkan Kluster Sivagangga, Kluster Sungai dan Kluster Tawar yang dipercayai berpunca dari India.

"Kajian terhadap penularan virus itu di Sabah pula mendapati ia (mutasi jenis D614G) datang dari Indonesia dan Filipina.

"Penularan di Kedah dan Sabah bukan sama, namun membabitkan D614G iaitu kumpulan sama yang berbeza ciri. Jadi, kita rasa kebolehjangkitan meningkat sedikit berbanding penularan sebelum ini," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, nilai kebolehjangkitan atau R0 (R naught) di Kedah pada peringkat awal adalah tinggi iaitu lebih daripada 2 sebelum menurun kepada 0.6, manakala di Sabah pula mencatatkan R naught pada 1.4.

"(Bagaimanapun) Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna serta sekatan jalan raya, kesihatan awam dan kawalan sempadan boleh mengawal jangkitan Covid-19 di Sabah.

"Di Selangor pula, walaupun tidak banyak kes direkodkan, namun disebabkan kepadatan penduduk kebolehjangkitan di negeri itu adalah pada 1.9 meskipun jumlah kes dilaporkan tidak setinggi di Sabah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 7:55pm
    d