mutakhir

'Kurung atau kami rampas'

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Kurung haiwan peliharaan atau ternakan anda bakal dirampas kerana berkeliaran tanpa kawalan.

Ini susulan peningkatan kes haiwan ternakan menceroboh kawasan laluan awam dan perumahan di daerah ini.

Susulan itu, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) bertindak menjalankan operasi di tiga lokasi sekitar daerah ini bermula 24 September lalu.

Yang Dipertua MDKS Rahilah Rahmat berkata, dalam operasi bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan Jabatan Veterinar Kuala Selangor berkenaan, sebanyak tiga ekor kambing berjaya dirampas di Bestari Jaya.

"Rampasan dibuat mengikut Seksyen 5 (1) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 kerana membiarkan kambing berkeliaran tanpa kawalan dan denda tidak lebih RM 1,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 12 bulan," katanya, semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan satu kompaun serta merta ke atas seorang pemilik haiwan ternakan di Taman Ilmu, Bestari Jaya mengikut seksyen sama iaitu Seksyen 5 (1).

"Operasi ini bertujuan mencegah haiwan peliharaan seperti lembu, kambing dan kerbau tidak berkeliaran di kawasan awam yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.

"Kami turut mengingatkan pemilik bahawa MDKS boleh menyita haiwan ternakan mengikut Seksyen 4 (4) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971.

"Malah, Seksyen 13 Enakmen yang sama memberi kuasa kepada MDKS untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah ke atas mana-mana pemilik kerana melanggar mana-mana peruntukan dalam enakmen itu," katanya ketika dihubingi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu boleh menghubungi 03-32891439 atau melayari laman sesawang selangor.spab.gov.my.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 7:01am
d