mutakhir

Tragedi memancing

Oleh Zaid Salim

Kuala Nerus: Murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir, ditemui lemas ketika mandi bersama rakan di Sungai Terengganu, di Kampung Pengkalan Titian, Seberang Takir, di sini, semalam.

Mangsa, Muhammad Adam Qayyum Abdul Hadi, 8, ditemui terapung kira-kira 20 meter dari tempat kejadian oleh penduduk pada 6.30 petang.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bersama abangnya serta empat rakan dikatakan ke lokasi berkenaan untuk memancing.

Bagaimanapun, ketika memancing, mangsa dikatakan mandi di sungai berkenaan sebelum tenggelam.

Abang mangsa berusia 10 tahun yang menyedari kejadian cuba menyelamatkan mangsa, namun gagal sebelum penduduk melakukan pencarian.

Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Zulkifli Abdullah dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus berkata, sejurus menerima panggilan, sepasukan anggota bomba tiba di lokasi kejadian sebelum menemui memberi bantuan perubatan kecemasan terhadap mangsa.

"Namun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Kesihatan yang turut berada di lokasi kejadian," katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 8:47am
d