mutakhir

Tokan cilik kena cekup polis

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Remaja lelaki yang ditahan bersama 16.93 gram (g) dadah di jeti nelayan Kampung Bukit Malut di sini, mengaku sudah terbabit dengan penyalahgunaan dadah sejak berusia 10 tahun.

Dia yang kini berusia 19 tahun ditahan polis bersama dadah jenis heroin dan syabu ketika sedang menunggu pelanggannya.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, remaja itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik pada 3.21 petang.

"Pemeriksaan terhadap beg silang menemui heroin dan syabu masing-masing seberat 15.4 g dan 1.53 g.

"Dalam soal siasat, dia turut mengaku terbabit penyalahgunaan dadah sejak sembilan tahun lalu, namun tidak memiliki rekod jenayah lampau," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, ujian saringan air kencing terhadap remaja itu didapati positif dadah jenis morfin dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Terdahulu, dua jam sebelum serbuan itu, polis menahan lelaki berusia 31 tahun ditahan bersama dadah heroin dan syabu seberat 6.24g di hadapan sebuah kedai di Jalan Pantai Chenang di sini.

"Suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) serta Seksyen 12(2) ADB," katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 10:14am
d