mutakhir

Panggilan 'Umi' sudah tidak kedengaran lagi [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: "Panggilan 'Umi' kepada saya sudah tidak lagi kedengaran apatah lagi mendengarnya bercakap, saya akui sangat rindu untuk mendengar suaranya," kata Siti Aisyah Ismail.

Sudah lebih tujuh bulan suaminya, Robi Mat Nor, 47, terbaring lesu di atas katil rumahnya di Kampung Kedai Buloh di sini, kerana menderita kanser lidah yang menyebabkan dia tidak dapat bercakap.

Dengan keadaan fizikal yang kurus kering kerana hidup hanya bergantung kepada susu khas, Robi kini semakin kerap menanggung kesakitan dan ia mengundang pilu di hati Siti Aisyah, 30, kerana suaminya itu tidak dapat bersuara sebaliknya hanya menggunakan isyarat tangan.

"Keadaan suami semakin teruk sejak kebelakangan ini dengan fizikalnya hanya kelihatan kulit membalut tulang sahaja dan disebabkan sudah tidak dapat bercakap, dia hanya menggunakan isyarat tangan jika inginkan sesuatu.

"Setiap kali berasa sakit, suami akan menunjukkan mulutnya sambil mengerang kesakitan dan situasi itu sangat meruntun hati saya," katanya dalam nada sebak.

Siti Aisyah berkata, sudah empat tahun suaminya menderita sakit di bahagian kanan lidahnya dan hasil rawatan yang diterima ketika itu memberitahu Robi hanya menghidap ulser.

Suaminya hanya dibekalkan ubat kumur namun semakin hari kesakitan itu tidak hilang malah semakin teruk menyebabkan Robi terpaksa dirujuk ke hospital sebelum melakukan pembedahan mengeluarkan nanah.

"Doktor memberitahu penyakit suami mempunyai simptom ke arah kanser lidah dan menyarankan agar dilakukan satu lagi pembedahan bagi memastikan tahapnya namun suami menolak dengan alasan tertentu.

"Hari demi hari dia hanya bergantung kepada ubat tahan sakit dan sejak Mac lalu keadaannya semakin teruk menyebabkan terus tidak dapat bekerja.

"Dia juga sudah tidak dapat membuka mulut, suara semakin hilang dan selera makan juga tiada menyebabkan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada susu khas," katanya yang mempunyai tiga cahaya mata berusia empat hingga 11 tahun.

Terdahulu, Robi menerima kunjungan dari dua wakil badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Cempaka Merah Asnaf Society dan I-Kasih sambil menghulurkan sedikit sumbangan.

Siti Aisyah berkata, untuk menampung perbelanjaan harian, mereka sekeluarga bergantung kepada hasil jualan mi sup di gerai kecil yang dibuka di hadapan rumahnya.

Menurutnya, dengan keuntungan yang kecil, dia terpaksa berjimat untuk pembelian susu khas serta lampin pakai buang untuk suaminya itu.

"Sekurang-kurangnya RM1,000 diperlukan setiap bulan untuk pembelian susu khas dan lampin pakai buang suami dan setakat ini, keperluannya itu belum pernah terputus kerana kami sekeluarga berjimat dan catu perbelanjaan lain," katanya.

Mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Siti Aisyah di talian 017-9849179.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 10:35am
d