mutakhir

Covid-19: Belum ada sekolah di Johor ditutup

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Belum ada mana-mana sekolah di Johor yang ditutup, susulan seorang guru di sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) di sini, yang disahkan positif Covid-19, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, arahan penutupan sementara mana-mana sekolah hanya boleh dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Setakat ini masih tiada arahan penutupan mana-mana sekolah di negeri ini akibat penularan Covid-19. Kerajaan negeri akan mematuhi apa jua arahan dan nasihat yang diberikan KKM serta MKN dan kita sentiasa berwaspada, juga mengambil langkah berjaga-jaga.

"Insya-Allah, keadaan masih terkawal dan kerajaan Johor sentiasa memberi sepenuh sokongan kepada KKM melakukan tugasan mereka bagi mengekang penularan wabak dalam masyarakat negeri ini, " katanya ketika dihubungi.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, dilaporkan berkata, kes generasi kedua Kluster Bakawali membabitkan seorang guru (isteri kepada kes generasi pertama) yang bekerja di sebuah SMK di Johor Bahru.

Katanya, siasatan dan pengesanan kontak rapat dalam kalangan guru dan murid juga sedang giat dijalankan, malah mereka akan menjalani ujian saringan Covid-19 selain diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah selama 14 hari.

"Sehingga Rabu lalu, seramai 157 kontak rapat guru itu sudah dikenal pasti, yang mana 70 orang adalah negatif, manakala 87 lagi masih menunggu keputusan," katanya seperti dilapor.

Sehingga kini, sembilan kontak rapat sepasang suami isteri yang mencetuskan Kluster Bakawali, disahkan positif Covid-19.

Lapan kontak rapat suami isteri berkenaan (generasi pertama) bekerja di tempat kerja yang sama, manakala seorang kontak rapat adalah isteri kepada seorang pekerja di situ yang juga guru (generasi kedua).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 10:52am
    d