mutakhir

3 lelaki miliki dadah ditahan [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Cheras: Tindakan dua lelaki sahabat menyembunyikan dadah seberat 19 kilogram bernilai RM1.1 juta dalam but kereta mengundang padah apabila ditahan polis di Kampung Baru Salak Selatan di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, anggota Balai Polis Salak Selatan yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan melihat dua individu itu dalam keadaan mencurigakan.

"Dua suspek berusia 18 dan 28 tahun itu didapati sedang membuka but kereta jenis Perodua Kembara.

"Ketika pemeriksaan dijalankan polis menemui 43 paket lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis ketamin," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, hari ini.

Mohamed Moksein berkata, siasatan terhadap kedua suspek mendapati mereka tidak bekerja.

"Hasil pemeriksaan rekod lampau ke atas mereka mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi kereta.

"Polis kini sedang menyiasat rangkaian sama ada suspek terbabit dengan sindiket pengedaran dadah dan akan mengenal pasti bekalan yang didapati," katanya.

Menurutnya, kedua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 7 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun berhampiran Razak Mansion dalam keadaan mencurigakan.

"Suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi itu dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dijalankan.

"Pemeriksaan menemui pelbagai jenis dadah dalam kenderaan itu antaranya 65 paket dadah jenis methaphetamine seberat 118 gram, Eramin 5 sebanyak 10 biji dan ganja seberat 3.77 gram," katanya.

Katanya, suspek dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk mengambil dadah berkenaan.

"Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 7 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2)/(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya," katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 11:38am
d