mutakhir

SAR cari mangsa jatuh sungai dihentikan

Oleh Mohd Rafi Mamat

Pekan: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh dari bot getahnya di Sungai Pahang berdekatan Kampung Marhum di sini, ditamatkan sepenuhnya semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu Komander Operasi KananMohd Ismail Abd Latif berkata, pihaknya terpaksa menamatkan operasi berkenaan selepas gagal menemui sebarang tanda kedudukan mangsa.

Menurutnya, pelbagai cara serta kaedah digunakan untuk mengesan mangsa termasuk selaman, rondaan di air dan darat termasuk penggunaan dron sepanjang operasi namun tidak menemui sebarang tanda.

Katanya, penduduk setempat yang juga nelayan pantai turut bertindak menggunakan pukat tunda pada hari kedua operasi mencari namun tidak berjaya.

"Terdapat lebih 10 bot nelayan, JBPM dan polis terbabit sepanjang pencarian mangsa.

"Kita sudah memberi sepenuh tumpuan terhadap SAR selama seminggu namun tidak menemui sebarang tanda mangsa yang hilang, keluasan sungai, arus air yang deras dan kedalaman di kawasan kuala sungai menyukarkan operasi mencari.

"Selain itu, kelewatan menyedari kehilangan mangsa serta lewat membuat laporan kepada polis menyebabkan operasi mencari menjadi lewat, kita berharap mangsa tidak hanyut dibawa arus ke laut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Ismail berkata, operasi mencari mangsa sebelum ini dibantu Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung.

Dalam kejadian pada 24 September lalu, Mohd Jafri Bakri, 32, yang dilaporkan tidak pandai berenang dipercayai terjatuh dari bot getah di Sungai Pahang.

Mangsa menaiki bot sendirian kira-kira 9 pagi untuk ke Kampung Pulau Tambun bagi membantu rakannya yang akan berpindah, mangsa menggunakan bot getah adik iparnya dengan enjin 22 kuasa kuda.

Bot mangsa dijumpai berpusing di tengah Sungai Pahang berhampiran jeti nelayan Kampung Marhum oleh nelayan tempatan yang bertindak menariknya ke tepi tanpa mengalami sebarang kerosakan.

Berita berkaitan

Tukang rumah hilang jatuh bot getah

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 12:27pm
d