mutakhir

Banjir kilat di KL, isu perumahan dalam perhatian [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Isu perumahan mampu milik menjadi agenda utama dalam penggubalan dasar perumahan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, perkara itu sudah dibincangkan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Mahadi Che Ngah dan akan disempurnakan sebaik mungkin.

"Kita memberikan penekanan kepada aspek perumahan di bandar kerana merasakan ada aspek tertentu yang perlu diberi perhatian terutama tahap rumah mampu milik yang benar-benar mampu.

"Selain itu, saya minta supaya DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) membina rumah bandar raya di setiap kawasan parlimen bagi memberi peluang kepada pekerja berpendapatan rendah menyewa rumah yang mereka mampu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur di Menara DBKL di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Annuar dan timbalannya, Datuk Seri Dr Shanthara Kumar menyaksikan serah terima tugas antara bekas Datuk Bandar Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan kepada Mahadi.

Mahadi, 61, yang juga bekas Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-13 untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa semalam.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, isu lain yang diberi perhatian adalah banjir kilat, aspek keselamatan bandar dan pembangunan kampung tradisi, malah beliau percaya semua perkara itu akan dinilai Mahadi dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya selamat.

Sementara itu, Mahadi yang berpengalaman lebih 30 tahun di DBKL memberi jaminan untuk menangani permasalahan warga kota sebaik mungkin dan tekad terhadap tadbir urus yang berintegriti.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 1:11pm
d