mutakhir

Peluk Islam selepas bermimpi didatangi cahaya putih

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: "Saya benar-benar yakin untuk memeluk Islam selepas bermimpi didatangi cahaya putih.

"Saya memaklumkan kepada keluarga hasrat untuk memeluk Islam namun ditentang. Alhamdulillah, pada 2009, saya akhirnya mengucap dua kalimah syahadah," kata Muhammad Sufian Abdullah, 29.

Menurut Muhammad Sufian, dia mula tertarik dengan Islam ketika berusia 15 tahun selepas menyertai kursus kepimpinan anjuran sekolah.

Ketika itu, katanya, dia sering ditinggalkan bersendirian sementara menunggu rakan beragama Islam selesai menunaikan solat.

"Pada satu program sekolah, apabila pulang daripada perkhemahan keesokan harinya, saya bermimpi didatangi cahaya putih sebelum terjaga daripada tidur.

"Selepas dua tahun mendalami Islam, saya mengucap dua kalimah syahadah di Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah Tapah, Perak pada Januari 2009," katanya.

Menurut Muhammad Sufian yang juga anak kelapan daripada sembilan beradik, jiwanya tenang selepas memeluk Islam.

Katanya yang ditemui di Madrasah Pengajian Islam (MPI) di Kok Lanas, Ketereh baru-baru ini, selepas memeluk Islam, dia belajar mengenai Islam di Pusat Bimbingan Saudara Baru (PUSBA) di Sungai Petani, Kedah selama enam bulan.

"Bagi memantapkan lagi tahap pengetahuan dalam bidang agama, pada April lalu, saya datang ke MPI untuk mendalami serta mempelajari lebih mendalam mengenai Islam dan tenaga pengajar di sini banyak membantu.

"Saya juga sentiasa berdoa supaya ibu dan adik beradik lain terbuka hati untuk memeluk Islam," katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 2:58pm
d