mutakhir

PLUS tak potong gaji pekerja

Oleh BERNAMA

Melaka: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengalami kerugian kira-kira RM400 juta dalam tempoh tiga bulan bermula Mac berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19.

Pengarah Urusan Plus Datuk Azman Ismail berkata, jumlah kenderaan yang melalui lebuh raya di bawah kendalian syarikat itu berkurangan sebanyak 90 peratus, daripada 1.7 juta kenderaan sehari kepada 170,000 kenderaan sehari dalam tempoh itu.

"Hasil kita jatuh sebanyak 90 peratus iaitu pada Mac, April dan Mei, bagaimanapun, ia kembali meningkat bermula 6 Jun selepas kerajaan mengumumkan kebenaran merentas negeri.

"(Namun), RM400 juta tidak boleh diperoleh semula dan ia secara tidak langsung memberi kesan kepada syarikat dan pekerja," katanya pada program Bual Eksekutif: Leadership In Steering The Organisation Across Turbulent Time Towards Recovery From Covid-19 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya kini meningkat kepada 1.5 juta sehari dan dijangka terus meningkat jika kerajaan membuka sepenuhnya pintu sempadan Malaysia-Singapura pada masa akan datang.

Katanya, pengurusan PLUS membuat banyak keputusan penting untuk mengelak impak yang besar kepada pengoperasian dan kebajikan pekerja.

"Apa pun saya tidak akan memotong gaji dan akan memastikan kira-kira 3,800 pekerja dapat terus bekerja dalam situasi getir ini," katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata, PLUS tidak melupakan aspek tanggungjawab sosial korporat kepada barisan hadapan khususnya pihak hospital di negara ini dalam menangani pandemik Covid-19.

"PLUS menyalurkan RM1.2 juta bagi menyediakan peralatan perlindungan diri dan peralatan perubatan untuk disumbangkan kepada Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.

"Pekerja kami turut membuat kutipan berjumlah RM128,000 untuk disumbangkan dalam bentuk fasiliti perubatan kepada tujuh hospital di sepanjang jajaran lebuh raya PLUS," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Raha Abdul Rahim berkata, program itu adalah platform terbaik bagi tokoh negarawan dan ilmuan negara berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman luas mereka bersama seluruh warga UTeM dalam menyokong pembangunan modal insan yang lebih cemerlang.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 3:18pm
d