mutakhir

PKR saman Zuraida RM10 juta

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: PKR mengemukakan saman terhadap Zuraida Kamaruddin dengan menuntut bekas naib presiden itu membayar RM10 juta kepada parti seperti dalam terma dan syarat di bawah bon ditandatangani dan mengikat dirinya.

Parti itu memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 28 September lalu melalui Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail selaku plaintif dengan menamakan Zuraida selaku defendan.

Kes saman terbabit ditetapkan bagi pengurusan kes pada 27 Oktober ini di hadapan Timbalan Pendaftar Norhatini Abd Hamid.

PKR dalam pernyataan tuntutannya berkata, Zuraida menandatangani bon apabila beliau mengikat dirinya untuk membayar kepada parti sejumlah RM10 juta, pada 25 April 2018.

Menurut parti itu, antara syarat bon ialah Zuraida bersetuju untuk membayar parti RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari selepas berlakunya salah satu perkara antaranya, jika beliau meletak jawatan sebagai anggota parti.

Plaintif berkata, Zuraida perlu membayar wang itu jika beliau tidak mengemukakan surat untuk bertanding kerusi yang diperuntukkan kepadanya atas apa alasan atau selepas memenangi pilihan raya, atau bergabung dengan parti politik lain, atau menjadi wakil rakyat bebas.

Seterusnya, ia mendakwa defendan dalam satu kenyataan bersama ahli parlimen lain pada 24 Februari lalu, mengumumkan peletakan jawatan daripada PKR tanpa meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Ampang.

Parti itu seterusnya berkata, pada tarikh sama Majlis Pimpinan Pusat Parti (MPP) meluluskan resolusi untuk melucutkan keahlian Zuraida dalam parti dengan serta-merta selain mengeluarkan sijil bertarikh 24 Julai lalu untuk mengesahkan keahlian defendan ditamatkan.

Menurut plaintif, ia berikutan tindakan defendan yang meletak jawatan menyebabkan parti kehilangan manfaat dan kelebihan mempunyai seorang ahli parlimen di Dewan Rakyat dan menjadi sebahagian kerajaan eksekutif.

Selain itu, plaintif mendakwa, defendan telah atau menikmati faedah selepas dipilih sebagai calon PKR yang memenangi kerusi Parlimen Ampang dan tidak adil untuk defendan terus mengekalkan faedah itu tanpa membayar pampasan bagi penggunaan jenama dan tanda parti.

Sehubungan itu, PKR menuntut Zuraida membayar RM10 juta kepadanya seperti di bawah bon, jumlah alternatif sebanyak RM12 juta selain kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 4:18pm
d