mutakhir

14 pekerja kilang dikejar ke klinik akibat asid tumpah

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Bayan Lepas: Seramai 14 pekerja sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas, di sini, dikejarkan ke klinik bagi menerima rawatan selepas terdedah dengan tumpahan asid hidroklorik, hari ini.

Mangsa yang terdiri daripada 13 wanita dan seorang lelaki kini berada dalam keadaan stabil.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.08 tengah hari.

Katanya, anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima maklumat.

"Ketika tiba di lokasi, didapati bekas mengandungi asid hidroklorik sebanyak satu liter jatuh dan pecah di atas lantai bilik makmal di kilang terbabit.

"Kesemua mangsa dipercayai terhidu asid itu, manakala seorang daripadanya terkena percikan bahan kimia berkenaan," katanya.

Katanya, kesemua mangsa kemudian dibawa majikan ke klinik berhampiran bagi menerima rawatan lanjut.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 5:04pm
d