mutakhir

Jel lapan bulan hukuman tikam teman lelaki

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menikam teman lelakinya sehingga paru-paru kanan mangsa bocor, Isnin lalu.

Majistret Tawfiq Affandy Chin menjatuhkan hukuman itu ke atas Hairulbariyah Ahmad, 22, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya dan mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap, semalam.

Hairulbariyah didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Sadiqin Mukhlis, 22, dengan menggunakan sebilah pisau di kaki lima hadapan sebuah unit kediaman Flat Sri Johor, Cheras, di sini, pada 1.30 pagi 28 September lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan, namun Timbalan Pendakwa Raya Zuraidi Zulkifli memohon hukuman setimpal kerana kesalahan itu menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku berpunca daripada pertengkaran mulut antara kedua-duanya dan tertuduh ditampar mangsa lalu tertuduh kemudian menikam mangsa.

Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital dengan pisau masih di dada.

Doktor yang merawat mengesahkan mangsa mengalami kecederaan bocor pada paru-paru kanan atas, namun berada dalam keadaan stabil dan boleh sembuh.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 5:10pm
d