mutakhir

15 pegawai KHSB dikuarantin

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Operasi Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB) tidak terjejas walaupun 15 pegawai dan kakitangannya dikuarantin lima hari sejak Selasa lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KHSB Mohd Zaid Sulaiman berkata, mereka dikuarantin kerana mempunyai kontak dengan isteri seorang individu yang pulang dari Sabah dan disahkan positif Covid-19.

"Pegawai dan kakitangan yang dikuarantin menghadiri mesyuarat ahli lembaga anak syarikat milik Ketengah yang turut dihadiri individu terbabit pada Isnin lalu.

"Kami memutuskan mengambil langkah berjaga-jaga apabila meminta pegawai dan kakitangan melakukan kuarantin di kediaman masing-masing.

"Alhamdulillah, semua 15 pegawai serta kakitangan yang dikuarantin itu disahkan negatif Covid-19," katanya dihubungi, hari ini.

Mohd Zaid berkata, pegawai dan kakitangan berkenaan akan kembali bertugas mulai Ahad ini.

"Pejabat yang menempatkan pegawai dan kakitangan berkenaan turut disanitasi pada Isnin lalu.

"Ibu Pejabat Ketengah yang dijadikan lokasi mesyuarat juga disanitasi pada hari sama," katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 6:21pm
d