mutakhir

'Keterangan saksi tiada kaitan kes pembunuhan Nazrin' - peguam

Oleh BERNAMA

Shah Alam: Pihak pembelaan perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini membantah keterangan saksi pendakwaan ke-29 yang disifatkan 'hanya bukti yang didengari'.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahannya yang merujuk kepada beberapa perenggan dalam pernyataan saksi Naib Presiden Pemasaran dan Pembangunan Ekosistem Cradle Fund Eliza Elias, menyatakan keterangan saksi itu juga tidak ada kaitan dengan kes pembunuhan itu.

Terdahulu semasa membacakan keterangan saksinya di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, Eliza, 44, antara lain menyatakan beliau berkenalan dengan Nazrin pada 2006 serta pernah bekerja bersama di sebuah syarikat sebelum menyertai Cradle Fund.

Saksi itu turut menceritakan keperibadian bekas majikannya yang bukan seorang pemarah namun tegas serta kehidupan perkahwinan Nazrin.

Muhammad Shafee dalam bantahan secara lisannya turut memetik perenggan berkenaan termasuk mengenai Nazrin menceritakan kepada Eliza berhubung barang yang dibeli dari luar negara dirosakkan.

"Saksi kata (menerusi pernyataan saksinya) yang beliau tidak tahu apa-apa perkembangan isu berkenaan. Mengikut perenggan ketujuh pula, saksi menyatakan anak Nazrin ada bermalam di rumah Nazrin tetapi tidak suka ke rumah itu, sekadar untuk menjaga hati Nazrin.

"Ini semua tiada kaitan dengan kes (pembunuhan Nazrin). Ia juga bukan kenyataan yang close (dekat) (kepada kes itu). Saya tidak nampak apa kaitannya. She obviously heard it from (Jelas beliau dengar semua ini daripada) Nazrin atau anaknya," kata Muhammad Shafee.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah dalam hujahannya pula berkata semua keterangan itu adalah fakta yang diceritakan oleh Nazrin kepada Eliza selain bagi menunjukkan hubungan di antara kedua-duanya.

"Inilah fakta yang saksi katakan diberitahu kepadanya oleh Nazrin. Ini hubungan antara Nazrin dengan orang yang berada di dalam rumahnya. Ia direct evidence (bukti langsung). Mahkamah boleh menerima fakta ini bergantung kepada keterangan lain," katanya.

Ab Karim kemudian mengarahkan supaya keterangan lanjut oleh saksi itu ditangguhkan sementara sehingga pihak pembelaan mengemukakan permohonan bantahan secara bertulis kepada mahkamah terhadap pernyataan saksi berkenaan.

Pada 12 Mac 2019, Samirah Muzaffar, 45, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia, yang juga isteri Nazrin serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, membunuh Nazrin.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Perbicaraan bersambung 16 Oktober ini.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 6:39pm
d