mutakhir

Projek 'kencing' bekal air mineral

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kuala Kangsar: Dua ahli perniagaan kerugian RM338,000 selepas diperdaya sindiket menyamar penjawat awam berhubung pemberian tender membekal air mineral pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mangsa berusia 54 tahun dan rakan kongsinya berusia 40-an ditipu suspek mendakwa pegawai di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurutnya, mangsa dihubungi 'pegawai' berkenaan pada 2 September lalu menawarkan projek membekal 20,000 kotak air minuman untuk diagihkan ke 34 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah

Katanya, mereka memindahkan RM50,000 sebagai cagaran di sebuah bank, di sini, pada 21 September lalu sebelum diarah membuat pindahan RM100,000 lagi kononnya atas arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Bagaimanapun, mangsa curiga dengan permintaan suspek lalu menghantar seorang wakil mereka ke Kota Kinabalu, Sabah bagi melihat sendiri proses pembelian air minuman berkenaan.

"Mangsa turut membayar RM288,000 untuk pembelian air mineral terbabit sebelum suspek menjanjikan semua kos dan keuntungan boleh dituntut kembali dalam masa singkat iaitu pada atau sebelum 29 September lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan polis, semalam selepas berasa ditipu apabila tidak memperoleh semula wang terbabit seperti yang dijanjikan.

Katanya, semua panggilan dan perhubungan dengan sindiket berkenaan turut disekat.

"Berdasarkan maklumat, beberapa individu ditahan untuk membantu siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 7:22pm
d