mutakhir

Ketua Menteri, Exco jalani ujian 'swab'

Oleh Amir Mamat

Melaka: Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali serta semua Exco negeri menjalani ujian calitan hari ini susulan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) disahkan positif Covid-19, kelmarin.

Ia berikutan Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, dikunjungi Adun Ayer Limau, Datuk Amiruddin Yusof yang positif Covid-19.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman berkata, semua kepimpinan negeri itu juga menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing sekurang-kurangnya lima hari.

"Ujian calitan sudah dilakukan pagi tadi dimulakan dengan Ketua Menteri, disusuli semua Exco sebelum disusuli dan pegawai, kakitangan sokongan termasuk pemandu jabatan serta agensi yang berada di kompleks berkenaan.

"Ia sebagai langkah berjaga-jaga kerana dikhuatiri mempunyai kontak dengan Adun berkenaan," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Sementara itu, Rahmad berkata, empat kontak rapat Amiruddin itu sudah disaring di Klinik Kesihatan Masjid Tanah dan diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah.

"Kakitangan Kompleks Seri Negeri yang berisiko juga sudah menjalani ujian calitan, sementara operasi di bangunan pentadbiran kerajaan negeri itu berjalan seperti biasa hari ini," katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 7:25pm
d