mutakhir

Sindiket pemalsuan didalangi warga Indonesia tumpas

Oleh BERNAMA

Putrajaya: Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen didalangi warga Indonesia yang aktif di sekitar Lembah Klang, menyaksikan penahanan 33 rakyat negara itu dalam lima serbuan di Klang, Selangor dan Chow Kit, Kuala Lumpur semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Mohamad Fauzi Md Isa berkata, antara ditahan, tiga lelaki warga Indonesia yang menjadi dalang sindiket berusia lingkungan 38 hingga 41 tahun; seorang lelaki yang berperanan sebagai 'runner' berusia 25 tahun dan dua kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.

"Sindiket ini membuat pelbagai dokumen palsu dan cop Imigresen Malaysia palsu. Pelanggan mereka adalah warga Indonesia yang ingin pulang ke negara asal mereka," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, sindiket itu membuat iklan melalui risalah serta orang tengah untuk mendapatkan pelanggan.

Katanya, dianggarkan seramai 500 warga Indonesia sudah mendapatkan perkhidmatan mereka sejak beroperasi dalam tempoh setahun.

Mohamad Fauzi berkata, sindiket itu mengenakan caj perkhidmatan antara RM100 dan RM1,500 bergantung kepada jenis perkhidmatan yang ditawarkan.

Antara barang yang dirampas ialah 18 unit cop masuk Imigresen Malaysia, 20 unit cop Keluar Imigresen Malaysia, lima unit cop Pas Khas palsu, lima keping Cetakan Pas Khas Imigresen palsu, 62 unit Pelbagai Cop Keluar/Masuk dari negara Indonesia, China, Singapura dan Thailand, 33 pasport Indonesia, 23 Surat Perjalanan Laksana Paspor (SPLP), 36 Surat Keputusan Covid-19 palsu dan dua keping surat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) palsu.

Mohamad Fauzi berkata, kesemua pasport Indonesia dan SPLP yang dirampas akan dihantar ke Kedutaan Indonesia untuk tujuan pengesahan ketulenan.

Beliau berkata, tiga dalang dan 'runner' terbabit akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu Seksyen 55D berkaitan pemalsuan atau pindaan bagi pengendorsan atau dokumen dan Seksyen 6(1)(c) berkaitan tinggal di Malaysia

tanpa pas sah.

"Mereka juga akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 berkaitan menjalankan penyeludupan migran.

"Sementara itu, 29 orang lagi akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu Seksyen 6(1)(c) kerana tinggal di Malaysia tanpa pas yang sah dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas," katanya.

Mohamad Fauzi berkata, kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 8:19pm
d