mutakhir

Tingkat kesedaran melalui bas 'Hentikan Pasaran Gelap'

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia), semalam, melancarkan bas berslogan 'Hentikan Pasaran Gelap' sebagai sebahagian komitmen berkongsi maklumat dengan rakyat Malaysia dan menarik perhatian awam mengenai betapa seriusnya isu pasaran gelap di negara ini.

Bas berkenaan yang mempamerkan mesej khidmat awam 'Hentikan Pasaran Gelap' sudah bergerak ke pelbagai lokasi di sekitar Lembah Klang bermula semalam sehingga Disember ini.

Pengarah Urusan BAT Malaysia, Jonathan Reed berkata, isu pasaran rokok seludup sudah terpinggir sekian lama walaupun mengakibatkan kerugian besar kepada Malaysia sebanyak RM5.3 bilion setahun daripada segi kutipan hasil cukai.

"Bas berslogan ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa isu rokok seludup tidak lagi boleh diketepikan atau dielak. Pasaran gelap ini bukan sekadar isu industri. Ia menjejaskan semua lapisan rakyat Malaysia secara langsung dan tidak langsung.

"Saiz pasaran gelap di negara ini dianggarkan sebesar RM300 bilion dan hasilnya pula digunakan bagi membiayai jenayah, menjana rasuah dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi, sedangkan dana ini amat diperlukan rakyat sekarang ini untuk keluar daripada pandemik Covid-19.

"Lebih membimbangkan apabila masalah ini semakin berleluasa walaupun usaha penguatkuasaan sudah dilipat gandakan tahun ini. Kaji Selidik Rokok Seludup oleh Nielsen baru-baru ini mendedahkan bahawa rokok seludup di Malaysia sebenarnya bertambah sejak beberapa bulan ini dan ia berada pada tahap 62 peratus daripada jumlah keseluruhan pasaran dalam Julai 2020," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi yang malap sekarang, dikhuatiri akan mendorong peningkatan kepada pasaran rokok seludup.

Menurutnya, langkah polisi tepat perlu dilaksanakan dengan segera bagi membanteras pasaran rokok seludup.

"Kerajaan perlu juga mempertimbangkan langkah-langkah selain daripada tindakan penguatkuasaan untuk benar-benar menangani isu ini dengan berkesan.

"Kami berharap rakyat Malaysia yang melihat bas 'Hentikan Pasaran Gelap' di jalan raya akan menyokong kempen kami dan menyertai perbincangan dengan melawat https://www.facebook.com/stoptheblackmarket," katanya.

Keterangan gambar:

Pengarah Urusan BAT Malaysia Jonathan Reed melancarkan bas berslogan HENTIKAN PASARAN GELAP.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 9:11pm
d