mutakhir

Hanya satu kes penularan Covid-19 di sekolah [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya menerima satu kes penularan Covid-19 di sekolah membabitkan Kluster Tawar di Kedah, setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam kes itu, pihaknya dimaklumkan mengenai kes jangkitan berpunca daripada guru yang menjangkiti murid.

"Setakat ini, hanya satu kes dikesan membabitkan penularan di sekolah, manakala sekolah lain belum ada laporan diterima.

"Dalam kes berkenaan, pihak sekolah sudah mengambil langkah menutup sekolah terbabit selama dua minggu bagi proses nyah cemar serta menjalankan saringan kontak rapat," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sedang memantau penularan Covid-19 di sekolah termasuk melakukan saringan terhadap guru baru pulang dari Sabah.

Beliau berkata, pihaknya bimbang guru pulang dari Sabah hadir ke sekolah hingga boleh menyebabkan kemungkinan jangkitan virus berkenaan kepada pelajar.

"Justeru, semua guru pulang dari Sabah akan menjalani saringan dan sekiranya didapati positif, langkah penutupan sekolah selama 14 hari untuk melakukan proses nyah cemar akan dilakukan," katanya.

Dalam perkembangan berasingan membabitkan kematian seorang guru yang dikatakan positif di Sabah, beliau berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada individu berkenaan dijangkiti Covid-19.

Menurutnya, individu terbabit dikatakan mengalami sesak nafas sebelum dihantar ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

"Berdasarkan ujian awal dilakukan, individu terbabit disahkan positif Covid-19, bagaimanapun keputusan itu akan dirujuk semula dengan melakukan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

"Keputusan ujian terbabit belum diterima bagi mengesahkan perkara berkenaan, namun tindakan diambil daripada segi kesihatan awam dengan melakukan proses nyah cemar di sekolah terbabit serta mengesan kontak rapat individu berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 9:42pm
d