mutakhir

'Ayah baca surah Al-Mulk setiap malam'

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: "Rutin arwah ayah setiap hari membaca ayat suci al-Quran, satu daripada surah yang arwah ayah baca setiap malam adalah Al-Mulk," luah anak Allahyarham Rosliman Osman, 60, ahli Jawatankuasa (AJK) Pemeriksa Kira-Kira Surau Ar-Rayyan di Seksyen 27, di sini, yang meninggal dunia ketika melaungkan azan Subuh, semalam.

Mohd Iddham Rosliman, 30, berkata, dia tidak menyangka suara lelaki bertadarus sebelum masuk waktu Subuh dan melaungkan azan sejak tiga hari lalu, milik arwah ayahnya.

Menurutnya, kebiasaannya, ayah hanya mengaji di rumah sebelum Subuh, namun dalam tiga hari kebelakangan ini mereka agak pelik kerana mendengar orang bertadarus di surau.

"Ia menyebabkan kami tertanya-tanya siapa yang bertadarus kerana biasanya dengar laungan azan sahaja.

"Rakan-rakan arwah ada beritahu sejak tiga hari lalu ayah yang laungkan azan dan mereka cakap ayah ada dengar ceramah kelebihan azan, itu ayah beria-ria.

"Walaupun surau sudah ada bilal tapi ayah menawarkan diri secara sukarela untuk azan sepanjang tiga hari ini," katanya ketika ditemui di rumah ibu ayahnya di Pangsapuri Ixora Seksyen 27, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid menyampaikan sumbangan kepada ibunya, Siti Amnah Hanapi, 55.

Mohd Iddham berkata, ayahnya juga sangat positif dalam segala perkara, suka berkongsi rezeki dan taat kepada ibu bapa serta seorang ayah yang sangat mengambil berat terhadap anak-anaknya.

"Apa-apa masalah anak, ayah mesti ke depan, nak ambil tahu dan cuba selesaikan.

"Ayah juga selalu bagi idea dan nasihat yang logik kami pun tidak terfikir.. juga keluarkan duit dia untuk bantu anak," katanya anak ketiga dari 10 beradik itu.

Sementara itu, Siti Amnah berkata, suaminya akan bangun pada jam 5 pagi setiap hari untuk mengaji dan turun ke surau awal untuk solat Subuh berjemaah.

"Saya dan anak-anak faham bila arwah masuk bilik dan tutup pintu, arwah hendak mengaji kemudian kami akan dengar alunan ayat suci dibaca arwah," katanya.

Sementara itu, rakan baik Allahyarham Rosliman, Azri Ahmad, 58, berkata, kenangan bersama rakannya terlalu banyak, malah arwah disifatkan sangat baik hati dan suka berjenaka walaupun wajahnya kelihatan tegas.

Katanya, mereka selalu bersaing untuk sampai ke surau awal, dan biasanya sebaik azan mereka bertembung di laluan pejalan kaki.

Bagaimanapun, katanya, semalam arwah turun lebih awal, manakala dia terpaksa patah balik kerana terlupa membawa sejadah.

"Tiba-tiba saya dengar Allah.. Allah.. Allah kemudian terputus-putus menyebabkan saya terus ke surau.

"Sebaik sampai, seorang wanita meminta tolong sambil memaklumkan ada orang jatuh

"Ketika itu saya nampak arwah sudah terbaring, selepas memeriksa periksa nadi arwah saya terus hubungi ambulans.

"Sebaik pihak perubatan tiba, mereka sahkan arwah sudah meninggal dunia. Banyak kenangan dengan arwah..," katanya sebak dan tidak dapat meneruskan kata-kata.

Dalam pada itu, Abdul Basith mengesahkan keluarga berkenaan layak didaftarkan sebagai asnaf dan keluarga akan dipantau oleh LZS dari semasa ke semasa.

"LZS akan memulakan bantuan sewa rumah ini dan semua keperluan pendidikan kepada anak yang masih belajar.

"Hari ini kita beri sumbangan sebanyak RM500 kepada isteri arwah, bantuan lain akan disalurkan mengikut keperluan semasa keluarga ini," katanya.

Berita berkaitan:

  • Pemergiannya saat sebut kalam Allah
  • Meninggal dunia ketika laung azan Subuh
  • Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 9:47pm
    d