mutakhir

UiTM nafi halau pelajar

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menafikan dakwaan pihaknya menghalau pelajar susulan penangguhan pendaftaran sebaliknya itu hanya salah faham.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berkata, UiTM amat prihatin dengan kekeliruan dan kesulitan yang dihadapi pelajar, susulan penangguhan pendaftaran secara fizikal yang dikuat kuasa hari ini.

"Kekeliruan berlaku disebabkan salah faham berikutan sumber yang tidak tepat diperolehi pelajar.

"UiTM sebenarnya sudah mengeluarkan pekeliling yang bersangkutan untuk menangani arahan penangguhan pendaftaran pelajar.

"Pekeliling Naib Canselor Bil. 24/2020 yang dikeluarkan hari ini jelas menyatakan bahawa penangguhan ini dibuat semata-mata untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pelajar tetap terpelihara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azraai berkata, meskipun penangguhan pendaftaran secara fizikal dikuatkuasakan, ini tidak bermakna pelajar yang mendaftar akan dihalau malah mereka diberi pilihan sama ada untuk pulang atau tinggal di kolej.

"Jadi, saya tegas menafikan kenyataan yang mengatakan kita menghalau pelajar seperti yang didakwa malah UiTM mendekati pelajar yang mendaftar lebih awal untuk membantu mereka susulan arahan penangguhan ini," katanya.

Bagaimanapun katanya, ekoran aduan dan rungutan pelajar yang tular dalam media sosial, pihak UiTM akan menjalankan siasatan terperinci untuk memastikan bahawa ia tidak berlaku.

"UiTM tidak akan mengambil mudah dengan sebarang isu yang dibangkitkan kerana dalam suasana semasa, kita amat memahami sebarang kemungkinan, kesulitan dan kekeliruan yang timbul.

"Saya menyeru kepada pelajar yang berhadapan dengan apa-apa masalah seperti yang berada di kampus, yang ingin pulang dan tidak pasti apa yang hendak dibuat, segeralah berhubung dengan bilik gerakan di kampus masing-masing untuk mendapat bantuan sewajarnya, " katanya.

Dalam pada itu katanya, isu yang mendakwa bahawa UiTM tidak menanggung segala kos sepanjang penginapan pelajar sekiranya PKP berlaku, kenyataan itu bukan kenyataan rasmi UiTM.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 10:46pm
d