mutakhir

Jangan panik, tunggu MKN putuskan

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Cadangan mengenai penutupan sekolah di kawasan penularan Covid-19 di negeri ini hanya boleh diputuskan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Berkenaan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, ia hanya boleh diutarakan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor dalam mesyuarat itu yang turut membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan agensi lain.

"Sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), saya tidak boleh memberi kenyataan mengenai penutupan sekolah.

"Kita tunggu pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) pusat sekiranya ada cadangan itu. Kita tidak mahu berlaku terlalu banyak arahan dan keputusan yang dibuat pelbagai pihak kerana ia hanya akan menimbulkan situasi kelam kabut dalam masyarakat," katanya, hari ini.

Beliau yang dihubungi turut meminta guru dan murid serta pelajar agar tidak panik dengan kewujudan kluster baharu di negeri itu.

Katanya, apa yang penting adalah semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain mengamalkan kawalan kendiri.

Semalam, Kedah mencatatkan 129 kes baharu dengan 128 daripadanya membabitkan Kluster Tembok, manakala satu lagi adalah kes saringan kontak rapat kepada kes positif.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 3, 2020 @ 10:58am
    d