mutakhir

Suspek curi berhala ditahan polis

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Tindakan lelaki mencuri patung berhala mengundang padah apabila ditahan polis di Jalan Gombak, Wangsa Maju, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat ahli jawatankuasa tokong di kawasan Kampung Baru Salak Selatan yang mendapati patung berhala tiada dan disyaki dicuri ketika berada di tokong itu 9 pagi, menyebabkan kerugian RM3,000.

Susulan itu, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan suspek berusia 44 tahun pada 10 malam .

"Pemeriksaan lanjut di rumah suspek yang terletak di Batu 5, Jalan Gombak menemui 82 patung berhala dan peralatan untuk sembahyang.

"Suspek bekerja sebagai mekanik dan mempunyai satu rekod dadah dan dua rekod jenayah, ditahan dan dibawa balik ke IPD Cheras untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, Ujian saringan awal air kencing saspek dapati negatif dadah.

"Dengan penahanan suspek dipercayai beberapa kes yang dilaporkan berkaitan kecurian patung berhala di beberapa kawasan lain berjaya diselesaikan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mendapatkan motif dan lokasi lain kegiatan curi patung berhala dan peralatan sembahyang ini," katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bukit Jalil dan dibenarkan direman empat hari bermula semalam hingga 5 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: October 3, 2020 @ 11:04am
d