mutakhir

Covid-19: Hanya satu peratus orang pulang dari Sabah positif

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Hanya satu peratus atau 132 orang daripada 13,000 individu yang disaring selepas pulang dari Sabah disahkan positif Covid-19, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Malah yang positif ini bukan orang politik sahaja, tapi bercampur-campur. Ada pelancong, ahli perniagaan dan kakitangan yang menghadiri tugas rasmi," katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan ahli politik yang pulang daripada membantu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah positif Covid-19 dan menyebabkan penularan kes di semenanjung.

Katanya, ujian calitan yang dilakukan di lapangan terbang untuk ketibaan penumpang dari Sabah adalah langkah pencegahan bagi mengekang penularan wabak.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sebelum ini tidak pernah mengumumkan perintah kuarantin 14 hari bagi individu merentas negeri, melainkan yang pulang dari luar negara.

"Kita tidak pernah mengenakan kuarantin 14 hari kepada mereka dari zon merah. Sabah adalah negeri di Malaysia walaupun kita naik kapal terbang merentasi laut.

"Ini kita laksana sebagai langkah pencegahan tambahan, minta mereka buat ujian calitan dan pakaikan gelang dan 14 hari kuarantin.

"Tapi apabila dapat keputusan negatif, mereka boleh terus ke klinik kesihatan untuk potong gelang serta diberi surat untuk benarkan ke pejabat dan sebagainya. Cuma, individu ini digalakkan menjalani kuarantin kendiri demi menjaga kesihatan diri dan keluarga mereka," katanya.

Bagaimanapun, ulasnya, tidak bermakna semua kuarantin perlu dilaksana ke atas mereka yang merentasi negeri lain yang hanya mempunyai satu dua daerah zon merah.

"Sebagai contoh di Kedah, dua kawasan di sana (zon merah) iaitu Aman Jaya dan Kota Setar, adakah sesiapa yang datang dari kedah akan di 'swab test' dan kuarantin, adakah masuk sahaja ke Penang perlu dikuarantin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 3, 2020 @ 4:44pm
    d