mutakhir

3 lagi kluster baharu dikesan [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin dan Mohd Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti tiga lagi kluster baharu penularan Covid-19 hari ini yang dilaporkan di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur.

Ia membabitkan Kluster Bah Lunas di Kedah, Kluster Bah Rose di Kedah dan Pulau Pinang, selain Kluster Jelok yang dikesan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Bah Lunas dikesan di Kulim, Kedah membabitkan kes indeks ke-11,471 iaitu seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang pulang dari kawasan berisiko di Sabah dan dikesan positif Covid-19 pada 30 September lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

"Susulan itu, saringan kontak rapat dilakukan mendapati terdapat tiga lagi kes positif Covid-19 bagi kluster ini dengan kesemuanya membabitkan warganegara dan mereka dimasukkan ke

Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk rawatan.

"Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 112 individu disaring dengan empat individu dikesan positif, manakala 21 individu dikesan negatif dan 87 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Bagi Kluster Bah Rose pula, Dr Noor Hisham berkata, ia dilaporkan di Kuala Muda dengan kes indeks membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dan didapati positif pada 29 September lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah.

"Susulan itu, saringan kontak rapat dilakukan mendapati tujuh lagi kes positif bagi kluster ini yang membabitkan individu tempatan yang menerima rawatan di hospital sama.

"Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 477 individu di Kedah dan Pulau Pinang disaring dengan lapan individu didapati positif, manakala 140 individu negatif dan 329 individu lagi masih menunggu keputusan," katanya.

Beliau berkata, Kluster Jelok dikenal pasti di Selangor dan Kuala Lumpur dengan kes indeks membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang didapati positif melalui saringan individu bergejala pada 1 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Susulan itu, katanya, saringan kontak rapat dilakukan mendapati tiga lagi kes positif bagi kluster ini dengan kesemua kes berkenaan membabitkan individu tempatan yang sudah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

"Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai lapan individu disaring dengan empat individu didapati positif dan empat lagi individu dikesan negatif. Punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 3, 2020 @ 6:36pm
    d