mutakhir

10 kenderaan rosak dirempuh pikap

Oleh BERNAMA

Ipoh: Sebanyak 10 buah kenderaan mengalami pelbagai kerosakan gara-gara sebuah pacuan empat roda mengalami masalah brek dan hilang kawalan di Jalan Raja Musa Aziz, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian berlaku pada 11.50 pagi ketika Toyota Hilux dipandu seorang lelaki melalui jalan sehala itu untuk ke tempat kerja di sebuah restoran, di sini.

Katanya, ketika melalui jalan empat lorong itu, brek kenderaan itu tiba-tiba tidak berfungsi sebelum hilang kawalan lalu merempuh sebuah Perodua Myvi di hadapannya yang sedang berhenti kerana lampu isyarat merah.

"Akibat itu, Toyota Hilux tersebut dan Perodua Myvi berkenaan terus merempuh beberapa kenderaan lain di hadapan, kiri dan kanan jalan. Kenderaan yang dirempuh dan gagal mengelak turut merempuh kenderaan lain.

"Kenderaan yang terlibat adalah sebuah Toyota Camry, Toyota Avanza, Honda City, Perodua Kenari, Toyota Unser, Proton Waja, Toyota Vellfire dan dua Perodua Axia yang semuanya mengalami pelbagai kerosakan termasuk bonet remuk," katanya ketika dihubungi selepas insiden itu tular di media sosial.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan polis sudah merakam keterangan semua pemandu yang terbabit.

Katanya, pemandu Toyota Hilux dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, untuk ujian darah bagi mengesan kandungan alkohol dan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2020 @ 7:52pm
d