mutakhir

Terus agresif rampas barang tiruan walaupun pandemik

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Pandemik Covid-19 melanda negara bukan halangan untuk sindiket menyeludup masuk dan menjual pelbagai barangan tiruan membabitkan pelbagai jenama terkenal.

Ini dibuktikan apabila sebanyak 248 kes membabitkan barang tiruan sedang disiasat tahun ini oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur.

Pengarahnya Ariffin Samsudin berkata, daripada jumlah itu sebanyak tujuh kes membabitkan kesalahan Akta Cap Dagangan 2019 sudah selesai pendakwaan di mahkamah.

"Selain itu kami menahan 19 individu kerana terbabit dalam pelbagai kesalahan membabitkan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG), dan juga Akta Kawalan Harga dan Akta Anti Pencatutan 2011," katanya selepas Latihan Menembak dan Kemahiran Pengendalian senjata api 2020 di di Lapang Sasar Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini, semalam.

Menurutnya, operasi membabitkan rampasan barang tiruan akan dilaksanakan dengan lebih agresif dan bersepadu membabitkan bantuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen," katanya.

Mengulas lanjut latihan menembak yang diadakan itu, beliau memaklumkan latihan tahunan membabitkan 60 anggota dan pegawai itu dilakukan bertujuan meningkatkan kemahiran dan ketepatan anggota KPDNHEP ketika menggunakan senjata api.

Menurutnya, senjata api boleh digunakan oleh semua anggota penguatkuasa KPDNHEP untuk melindungi diri mereka dalam operasi yang kini semakin berbahaya serta berdepan pelbagai ancaman termasuk oleh tonto.

"Latihan ini bagi memastikan pegawai-pegawai penguat kuasa di Kementerian ini cukup terlatih dalam pelbagai bidang kemahiran sekaligus membolehkan mereka menjalankan tugas dengan yakin dan berkesan," katanya.

Program berkenaan turut disertai pasukan dari DBKL, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan media tempatan.

Program dirasmikan Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Operasi KPDNHEP, Low Swee Hon turut dihadiri Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri (KPPN) (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Zubir Hamsa.

Latihan menembak membabitkan sasaran 'bull's eyes' dan jatuhan piring terpantas secara berpasukan bermula jam 9 pagi semalam menggunakan senjata pistol Glock-19.

Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 9:40am
d