mutakhir

Lelaki 'gelang pink' selamba makan di restoran

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Gombak: Seorang lelaki bergelang merah jambu ditahan ketika makan di sebuah restoran kerana melanggar syarat kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKKP) Covid-19 di Bandar Tasik Puteri, Rawang dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, semakan mendapati lelaki berusia 52 tahun itu mendapat arahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjalani kuarantin di rumah bermula semalam sehingga 16 Oktober ini.

"Lelaki itu sudah menjalani ujian saringan Covid-19 selepas tiba dengan satu penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan keputusan ujian masih belum diterima.

"Polis menahan dia kerana melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak jangkitan penyakit Covid-19 mengikut Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, proses reman terhadapnya akan dijalankan hari ini dan ia akan dibuat di sebuah bilik khas yang disediakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan kepada nyawa.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988/ Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (No 8) 2020," katanya.

Katanya, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar perintah kuarantin.

Terdahulu, tular beberapa gambar, semalam menunjukkan sepasukan anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas suspek di hadapan sebuah restoran di Bandar Tasik Puteri.

Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 9:47am
d