mutakhir

Macam mana boleh tersepit dik

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Teluk Intan: Remaja perempuan terpaksa menanggung kesakitan hampir 20 minit selepas tangan kirinya tersepit pada gegancu (sprocket) motosikal yang ditunggang bersama adiknya di Kampung Bahagia, hari ini.

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 17 tahun yang juga pembonceng mahu membetulkan seluarnya sebelum tangan kiri tiba-tiba tersepit pada gegancu atau gerigi pada roda yang berkait dengan rantai motosikal.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan menerima panggilan kejadian pada 8.38 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan ke lokasi dengan sebuah jentera.

"Anggota mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan tangan kiri remaja itu menggunakan peralatan khas.

"Dia kemudian diserahkan kepada pasukan kesihatan untuk rawatan. Operasi diketuai Noor Ahmad Mohd Sharif itu tamat pada 9 pagi," katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 11:05am
d