mutakhir

Mohammad tawan Gunung Wuling

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: "Alhamdulillah, berkat keyakinan dan kesungguhan saya berjaya mencapai impian menakluk Gunung Wuling dengan menaiki basikal," kata peminat sukan berbasikal, Mohammad Mos, 43.

Mohammad yang berasal dari Sarawak mencipta nama menerusi Cabaran Kayuhan Gunung Wuling Taroko di Taiwan, semalam, apabila melakukan kayuhan 14 jam melebihi 200 kilometer (km) melalui trek perlumbaan basikal yang terkenal dengan gelaran Raja Gunung Taroko atau Taroko King of Mountains (Taroko KOM).

Taroko KOM itu adalah laluan basikal paling mencabar dan tertinggi di dunia dengan ketinggian 3,275 meter dari aras laut dan setiap peserta perlu menjalani beberapa ujian khas termasuk ujian masa.

"Saya memulakan kayuhan pada 5 pagi selepas solat subuh dan tiba di puncak pada 7 malam ditemani beberapa rakan peminat basikal dari Indonesia Cycling Team (ICT) dan Taiwan.

"Sepanjang cabaran saya tidak mengalami sebarang masalah termasuk kerosakan basikal dan keadaan cuaca juga baik.

"Selepas selesai, saya turut menambah jumlah kayuhan sebanyak 175 km secarasolo pulang ke Taipei melalui jalan persisirantepi laut menjadikan jumlahkayuhan sebanyak 3,450 km.

"Pengorbanan latihan yang diadakan selama dua bulan akhirnya berbaloi kerana saya berjaya mencipta satu lagi rekod peribadi sepanjang menceburi bidang sukan lasak," katanya yang turut merakamkan jutaan terima kasih kepada rakan pasukan yang banyak membantu memberi sokongan.

Mohamad berkata, kejayaan itu adalah untuk seluruh rakyat Malaysia selain rekod peribadinya sempena Hari Sukan Negara Perwakilan Malaysia di Taipei yang disambut pada Oktober setiap tahun.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata ini juga Pegawai Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan penerima biasiswa kerajaan Taiwan bagi pengajian bahasa Mandrin di Universiti KebangsaanPendidikan Taiwan (NUTE).

Beliau berhijrah ke Taiwan tiga tahun lalu untuk menemani isterinya yang bertugas sebagai kakitangan kerajaan.

Sebelum ini beliau pernah mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penerbangan paramotor pertama merentasi perairan dari Langkawi ke Alor Setar dan aktiviti berkayak Malaysia-Thailand di bawah program Rakan Muda.

Berita berkaitan:

  • Kayuh basikal ke puncak gunung Wuling
  • Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 11:57am
    d