mutakhir

Keras kepala teroka hutan simpan

Oleh Mohd Rafi Mamat

Bentong: Kedegilan dua lelaki tempatan menceroboh Hutan Simpan Bukit Tinggi (Tambahan) di sini, mengundang padah apabila mereka tahan Penguat Kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD), Selasa lalu.

Pegawai PHD Bentong, Haffiz Baharuddin berkata, dua lelaki berusia 48 dan 72 itu ditahan ketika melakukan aktiviti pertanian di Kompartmen 106 hutan simpan berkenaan.

Katanya, turut disita dua motosikal serta hasil tanaman pisang dan durian yang cuba dipindahkan.

Menurutnya, hasil risikan pasukan Renjer Bentong Barat menemukan kawasan diceroboh di Kompartmen 106 oleh penduduk setempat.

"Operasi Penguatkuasaan Hutan disertai 19 anggota penguat kuasa dan kakitangan PHD Bentong dilakukan lebih dua jam bermula 10.30 pagi dan ketika serbuan dua lelaki terbabit sedang memungut hasil tanaman pisang dan durian.

"Kita menahan mereka untuk tindakan undang-undang kerana perbuatan menceroboh hutan simpan termasuk mengusahakan projek pertanian secara tidak sah," katanya dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati lebih tujuh hektar kawasan hutan simpan itu diteroka secara haram dipercayai dilakukan oleh lebih daripada dua individu yang mengusahakan tanaman pisang dan durian.

Haffiz berkata, kawasan Hutan Simpan Bukit Tinggi (Tambahan) terletak bersebelahan dengan Kampung Bukit Tinggi serta Lebuharaya Kuala Lumpur-Karak yang amat berisiko berlaku tanah runtuh akibat daripada aktiviti pencerobohan secara haram.

Katanya, tangkapan dua individu terbabit diharap memberi pengajaran kepada penduduk tempatan terutama di Kampung Bukit Tinggi tentang kesalahan dan hukuman disebabkan perbuatan menceroboh Hutan Simpanan Kekal untuk apa juga aktiviti.

"Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menceroboh hutan simpan di daerah ini, ia sebagai bukti ketegasan PHD Bentong membendung perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang degil dan tamak.

"Operasi pemusnahan tanaman sedia ada serta aktiviti menanam semula pokok balak yang sesuai di kawasan ceroboh akan dilakukan dengan segera di kawasan terbabit.

"Lebih banyak operasi penguatkuasaan akan dilakukan selepas ini terutama membabitkan kawasan hutan simpan dan tanah kerajaan," katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 1:00pm
d