mutakhir

KKM bekerjasama dengan WHO tingkat sistem pemantauan Covid-19

Oleh Mohamed Farid Noh

Kota Tinggi: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sedang bekerjasama bagi meningkatkan sistem pemantauan pandemik Covid-19 negara supaya tindakan lebih pantas dapat diambil untuk mencegah penularan virus berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kepantasan dan kecekapan sistem pemantauan Covid-19 bukan sahaja mampu mengekang penularan wabak berkenaan, malah membolehkan negara merangka pelan keluar dari wabak itu dengan berkesan.

"Kerajaan bersetuju dengan saranan pakar epidemiologi dan wabak negara yang menyarankan supaya sistem pemantauan pandemik Covid-19 dipertingkatkan dengan KKM kini bekerjasama dengan WHO bagi meningkatkan kemampuan sistem pemantauan kita supaya lebih bersepadu.

"Terdapat dua faktor penting yang menjadikan kaedah pengesanan Covid-19 di negara kita antara yang pantas, satunya adalah kebijaksanaan petugas barisan hadapan mengesan kes aktif, selain kesediaan serta kemampuan makmal kita menguji sampel wabak dengan pantas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup sesi Town Hall Pembudayaan Norma Bahari Dalam Komuniti Bagi Mencegah Penularan COVID-19 di Desaru, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Chong Chee Keong; Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Johor,Dr Aman Rabu.

Media semalam melaporkan, kerajaan disaran menambahbaik sistem pemantauan pandemik Covid-19 supaya tindakan lebih pantas dapat diambil untuk mencegah penularan virus berkenaan.

Pakar kesihatan awam dilaporkan berpendapat langkah itu adalah wajar selaras keputusan kerajaan tidak bercadang melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun kes jangkitan Covid-19 semakin membimbangkan.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, sejumlah 16,000 sehingga 20,000 sampel Covid-19 diuji dan diproses sehari susulan peningkatan penularan virus itu di beberapa negeri sejak kebelakangan ini.

Katanya, pertambahan sampel itu susulan pertambahan kes di Sabah, Kedah dan Lembah Klang selain mereka yang pulang dari kawasan berisiko tinggi.

"Sebanyak 58 makmal di seluruh negara mempunyai keupayaan untuk menjalankan ujian sampel sehingga 39,000 sehari," katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 2:31pm
d