mutakhir

36 tahanan Penjara Alor Setar positif Covid-19 dibawa ke HSB

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Seramai 36 tahanan Penjara Alor Setar di sini, yang positif Covid-19 terpaksa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi mendapatkan rawatan rapi selepas keadaan mereka dikatakan agak serius.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, tindakan itu terpaksa dibuat selepas kakitangan perubatan mendapati mereka memerlukan pemantauan lanjut.

Katanya, bagi tahanan positif yang didapati dalam keadaan stabil, proses kuarantin mereka dilakukan sepenuhnya di dalam kawasan penjara berkenaan.

"Penjara ini mempunyai kira-kira 1,800 namun tidak semua perlu menjalani ujian saringan Covid-19. Hanya banduan yang ada kontak rapat disaring, tetapi jumlah mereka yang disaring memang meningkat setiap hari.

"Cuma kita belum dapat maklumat tepat mengenai jumlah yang sudah dan bakal disaring.

"Jumlah sampel saringan yang besar dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh, Perak, manakala jumlah sampel saringan yang kecil akan diuji di makmal Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai terutamanya sekitar Kota Setar tidak panik susulan peningkatan kes Covid-19 membabitkan Kluster Tembok.

Katanya, setakat hari ini sejumlah petugas penjara dan kontak rapat sudah disaring selain proses sanitasi turut dilakukan sekitar kawasan kediaman mereka.

"Sanitasi ini dilakukan di kediaman petugas yang tinggal luar kuarters penjara. Bagi mereka yang dikenakan perintah kuarantin, kita berharap mereka kekal di rumah.

"Kita tidak mahu ada yang degil dan menyebabkan kluster ini merebak kepada kepada penduduk di luar, bagi orang luar pula mereka diminta terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Sehingga semalam, Kedah mencatatkan 414 kes membabitkan Kluster Tembok, 10 kes membabitkan Kluster Bah Ketil, empat kes Kluster Bah Lunas dan Kluster Bah Rose lapan kes.

Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 2:39pm
d