mutakhir

Tiada pasar pagi di Pekan Penaga minggu depan [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Pasar pagi di Pekan Penaga di sini, tidak dibenarkan beroperasi minggu hadapan selepas pemeriksaan mendapati penganjur gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Dalam operasi pematuhan SOP yang dilaksanakan polis bersama beberapa agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kira-kira jam 9 pagi ini mendapati semua yang berada di pasar berkenaan mengingkari arahan.

Kesalahan itu timbul memandangkan penganjur tidak menyediakan jalan keluar dan masuk, gagal mengawal peniaga dan orang awam lalu menyebabkan tiada penjarakan fizikal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, berikutan itu polis mengeluarkan dua kompaun terhadap penganjur pasar pagi berkenaan.

"Selain itu, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan keluarkan notis kepada penganjur esok bahawa pasar itu diarah tutup pada minggu hadapan dan semua premis tidak dibenarkan operasi memandangkan kegagalan penganjur mematuhi SOP.

"Pihak KKM juga akan buat pemantauan apabila pasar itu ditutup yang mana langkah ini diambil dalam bersama-sama membendung penularan wabak Covid-19," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seramai 35 pegawai dan anggota terdiri daripada polis, KKM, MBSP, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyertai operasi yang diadakan kira-kira dua jam itu.

Pasar pagi itu beroperasi pada setiap Khamis dan Ahad yang mana ia menjadi tumpuan ramai khususnya pada cuti hujung minggu.

Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 3:13pm
d