mutakhir

Kempunan bela kucing Russia

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas dua ekor kucing yang cuba dibawa masuk dari Russia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah MAQIS Selangor Dr. Tarmisal Alimin berkata, dua ekor kucing itu dirampas baru-baru ini, susulan pemiliknya gagal mematuhi syarat dinyatakan dalam dokumen permit dikeluarkan MAQIS.

"Pemilik dua ekor kucing itu adalah warga tempatan yang baru pulang dari Moscow, Russia.

"Hasil pemeriksaan mendapati pemilik kucing berkenaan tidak mematuhi syarat permit yang dikeluarkan MAQIS dan gagal mengemukakan Sijil Kesihatan Veterinar dari negara pengeksport," katanya tadi.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Kegagalan mengemukakan dokumen berkenaan adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 15(1) dan Seksyen 15(2) [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali," katanya.

Beliau berkata, MAQIS sentiasa memantau pintu masuk negara bagi memastikan haiwan yang diimport ke negara ini bebas penyakit dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 3:23pm
d