mutakhir

Pegawai kanan agensi keselamatan disyaki lindungi sindiket

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Lebih ramai individu bakal dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk pegawai agensi keselamatan yang disyaki melindungi sindiket 'cuci duit' dikaitkan dengan perniagaan golongan artis sebelum ini.

Sumber berkata, siasatan mendapati sindiket yang mendalangi kegiatan Macau scam, penipuan dan perjudian berkenaan dipercayai membayar ratusan ribu ringgit kepada beberapa pegawai kanan agensi keselamatan itu bagi melindungi jenayah dilakukan mereka.

Katanya, pegawai kanan agensi keselamatan yang terbabit akan dipanggil dalam masa terdekat untuk direkod keterangan dan membantu siasatan.

"Setakat ini lapan individu sudah ditahan SPRM sejak Jumaat lalu selepas disyaki ada kaitan dengan jenayah penggubahan wang haram ini.

"Buat masa ini tiada tangkapan atau arahan reman terbaru dilakukan (semalam)," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan taktik perdaya dan guna populariti artis untuk menjalankan kegiatan 'mencuci' duit haram melalui pelbagai usaha sama dan perniagaan sah.

Itu antara kegiatan segelintir individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan haram termasuk perjudian sebelum memerangkap segelintir artis tempatan dengan menawarkan bantuan modal untuk memulakan perniagaan.

Kaedah itu dianggap mampu mengaburi mata pihak berkuasa selain membolehkan keuntungan diperoleh hasil kerjasama pelbagai bentuk pelaburan yang disertai bersama.

Bagaimanapun, kegiatan mereka itu dikesan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hasil risikan dan siasatan dijalankan sebelum lima individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk ditahan.

Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 5:20pm
d