mutakhir

Pembukaan sempadan Malaysia-Singapura sentiasa dibincang

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Biarpun berlaku peningkatan kes Covid-19 dalam negara ketika ini, kerajaan sentiasa menjadikan perbincangan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura sebagai perkara utama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perbincangan itu sentiasa diutarakan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang diadakan sekali seminggu.

Katanya, penutupan sempadan memberi dua kesan besar iaitu sektor ekonomi dan pelancongan, namun pembukaannya memerlukan penelitian kedua pihak supaya ekonomi dan isu kesihatan (pandemik Covid-19) adalah seimbang.

"Perbincangan pembukaan sempadan menjadi satu perkara utama kerajaan Pusat, perbincangan ini berlaku secara berterusan. Covid-19 adalah risiko yang mendatangkan masalah, jadi kena seimbang antara faktor kesihatan dan ekonomi.

"Kita harap sempadan dibuka pada masa tertentu tertakluk kepada perundingan kedua pihak. Kita sedia maklum ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian di Malaysia dan Singapura sebelum sempadan dibuka sepenuhnya.

"Kita harap akan tiba masanya, secara perlahan sempadan dibuka, akan bantu pulihkan ekonomi negeri Johor. Perkara ini dibincangkan sepanjang masa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja ke Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di Rumah Pangsa Larkin, di sini hari ini.

Mustapa berkata, mesyuarat EAC Isnin lalu membincangkan mengenai sektor pelancongan yang mana 50 peratus daripada pelancong ke Malaysia adalah dari Singapura.

"Kita faham bagaimana sektor pelancongan terkesan dengan keadaan ini dan perbincangan akan diteruskan," katanya.

Menurutnya, selain EAC, perbincangan berkaitan pembukaan sempadan secara berterusan juga dilakukan menerusi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien.

Ini kerana, Johor adalah negeri paling terkesan dengan penutupan sempadan antara kedua negara.

"Mengenai hal ini (pembukaan sempadan), banyak kali juga disuarakan oleh Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

"Ramai rakyat negeri ini yang bekerja di Singapura. Dua kesan utama dapat dilihat iaitu rakyat negara itu tidak datang melancong serta berbelanja di Johor. Dan rakyat kita hilang punca pendapatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 6:22pm
    d