mutakhir

Apa nak jadi? Makin 'berlambak' kluster baharu

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Sebanyak lima kluster aktif yang menyumbang kepada 293 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini selain dua kluster baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antara kluster yang merekodkan kes baharu adalah Kluster Tembok yang dilaporkan di Kedah dan Perak membabitkan 112 kes baharu.

"Dalam kluster itu, seramai 3,860 individu disaring dengan 58 daripadanya membabitkan individu bukan warganegara serta merekodkan satu kes kematian.

"Satu lagi kluster yang mencatatkan kes baharu hari ini adalah Kluster Benteng LD dilaporkan di Sabah dengan 14 kes baharu menjadikan keseluruhan kes sebanyak 948 kes. Seramai 12,997 individu disaring.

"Daripada 948 kes dilaporkan bagi kluster itu, 381 kes membabitkan individu bukan warganegara," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Jalan Meru turut mencatatkan 14 kes baharu semalam menjadikan keseluruhan kes positif adalah 38 kes daripada 168 individu disaring.

"Selain itu, Kluster Bangau-Bangau di Sabah turut merekodkan 13 kes baharu menjadikan keseluruhan kes sebanyak 36 kes daripada 836 individu disaring.

"Kluster Bah Rose dilaporkan di Kedah dan Pulau Pinang pula mencatatkan satu kes baharu menjadikan keseluruhan kes sebanyak sembilan kes daripada 499 individu disaring.

Berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di Penjara Alor Setar, Kedah yang berkuat kuasa tengah malam esok, beliau berkata, langkah itu diambil berikutan peningkatan mendadak kes positif di kawasan berkenaan.

"PKPDB ini akan membabitkan kawasan penjara dan kuarters kakitangan penjara. Pelaksanaan PKPDB bertujuan bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 di kawasan itu serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

"KKM akan terus menjalankan langkah-langkah kawalan dan pencegahan di kawasan berkenaan dan bekerjasama dengan pelbagai agensi pihak berwajib," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 7:21pm
    d