mutakhir

Punca pencemaran dari kawasan industri - Tuan Ibrahim [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Pencemaran di Sungai Semenyih, Selangor, semalam dikenal pasti berpunca dari kawasan perindustrian Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan yang terletak 30 kilometer dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, punca sebenar pencemaran di sungai berkenaan masih dalam siasatan.

"Bau seakan-akan bangkai. Punca dikenal pasti di sekitar kawasan perindustrian Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan. Lokasi sebenar masih dalam siasatan," katanya menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya, malam tadi.

Tuan Ibrahim turut memaklumkan bahawa beliau turun padang bagi meninjau lokasi disyaki punca pencemaran Sungai Semenyih di kawasan perindustrian di Nilai Utama, Negeri Sembilan, malam tadi.

"Semoga Allah SWT membantu urusan penguat kuasa untuk mengenal pasti punca sebenar bagi memudahkan urusan seterusnya," katanya.

Beliau bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut melakukan tinjauan di LRA Sungai Semenyih, malam tadi.

Menurutnya, tahap pencemaran di sungai berkenaan pada tahan empat TON sehingga 4 petang, semalam.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan beliau sudah berhubung dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminudin Harun untuk bekerjasama menyelesaikan isu berkenaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan LRA Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih, semalam.

Henti tugas loji itu menyebabkan 273 kawasan terjejas membabitkan 309,605 akaun pengguna mengalami bekalan air tidak berjadual.

Disiarkan pada: October 5, 2020 @ 9:50am
d