mutakhir

Idris ulang penafian sokong Anwar

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh mengulangi pendirian menafikan beliau menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, dakwaan seperti yang tersebar pada portal mengaitkan namanya dengan gerakan menukar kerajaan diketuai Anwar adalah palsu.

"Seperti kenyataan pendirian saya sebelum ini, saya tidak tahu-menahu mengenai perkara itu dan saya tidak pernah dihubungi mana-mana pihak termasuk daripada Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Semalam, satu senarai nama Ahli Parlimen dikatakan menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri tersebar di media sosial.

Ia adalah senarai kedua selepas senarai awal sejurus Anwar membuat pengumuman berhubung dakwaan perubahan kerajaan pada akhir bulan lalu.

Anwar dalam satu sidang media sebelum ini membuat kejutan apabila mengumumkan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu dan mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Beliau mendakwa senarai Ahli Parlimen terbabit akan dibawa mengadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat bagi mendapat perkenan baginda berhubung pembentukan kerajaan baharu pimpinannya.

Disiarkan pada: October 5, 2020 @ 10:54am
d