mutakhir

Hampir lemas di Taman Tasik Taiping

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang warga emas yang hampir lemas kerana berenang di Taman Tasik Taiping, di sini, pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, panggilan diterima jam 8.13 pagi sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping diarahkan ke lokasi. Katanya, setibanya di lokasi, lelaki berusia lingkungan 70 tahun terbabit didapati berada kira-kira sembilan meter dari kawasan tebing tasik selain dalam keadaan hampir lemas.

"Penyelamatan dilakukan dengan cara berenang ke arah mangsa untuk membawanya ke tempat yang selamat.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital menaiki jentera EMRS (Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, identiti mangsa belum dikenal pasti memandangkan maklumat diri termasuk nama tidak diperoleh.

"Khidmat jurubahasa juga sudah digunakan namun beliau juga tidak memahami apa yang mangsa perkatakan.

"Mangsa dipercayai nyanyuk," katanya.

Disiarkan pada: October 5, 2020 @ 11:44am
d